Kini semakin ramai wanita yang mendominasikan sektor profesional seiring dengan kemajuan daya saing mereka. Wanita merupakan sebahagian besar daripada populasi masyarakat Malaysia. Sumbangan besar kaum wanita kepada pembangunan negara sememangnya telah lama diiktiraf. Sebagai isteri, ibu dan anak, mereka merupakan tunggak utama dalam membentuk generasi Malaysia yang penyayang dan progresif di masa hadapan. Mengikut sumber Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2004, 49% (12,557,700 orang) daripada keseluruhan jumlah penduduk di Malaysia terdiri daripada golongan wanita dan kira-kira 48% daripada jumlah penduduk wanita merupakan tenaga buruh (Malaysia, 2005). Peningkatan dalam penyertaan wanita sebagai tenaga buruh menunjukkan bahawa penglibatan wanita dalam aktiviti pembangunan negara
semakin menyerlah dan kian positif. Ini dibantu oleh pembangunan negara yang banyak membuka peluang dan ruang bagi wanita mempertingkatkan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang dan aktiviti di samping membuka dan menyahut cabaran yang lebih besar untuk terus berperanan dan berjaya selaras dengan proses perindustrian dan pemodenan negara menujuabad ke 21 (Moha,1997).
Tambahan pula setiausaha agung CUEPACS, Ahmad Syah Mohd Zain telah membuat kenyataan baru-baru ini dimana beliau meluahkan kebimbangan berrikutan penguasaan penjawat wanita dalam sektor awam sekarang semakin meningkat jumlah statistiknya. Pada hari ini, nama-nama seperti Tan Sri Dr Zeti Akhtar, Datuk Dr Mazlan Othman, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim dan lain-lain merupakan nama-nama yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat Malaysia. Mereka ini telah mempamerkan kebolehan, keupayaan dan kemampuan dalam bidang masing-masing bagi menunjukkan bahawa kedudukan dan kemampuan wanita pada hari ini telah setanding dengan kaum lelaki. Wanita sudah berupaya meletakkan diri di barisan hadapan sebagai peneraju dalam pelbagai bidang kepakaran seperti perubatan, perniagaan, perundangan, politik dan sebagainya. Selain itu, dalam bidang pendidikan turut memperlihatkan dominasi pelajar perempuan dengan nisbah 70 untuk perempuan dan hanya 30 untuk lelaki di institusi pengajian tinggi awam di malaysia.
Namun begitu, wanita yang bekerjaya sebenarnya terpaksa menampung beban yang sangat berat. Hal ini kerana, wanita-wanita ini bukan sahaja menjadi individu penting di tempat kerja tetapi mereka juga memainkan peranan besar di rumah sebagai ibu dan isteri yang mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan suami dan anak-anak. Terdapat banyak kes di mana wanita-wanita yang berkerjaya ini terpaksa meninggalkan alam pekerjaan demi memenuhi tuntutan sebagai ibu dan isteri. Hal ini kerana, mereka merasakan bahawa mereka tidak lagi mampu untuk menguruskan banyak perkara di dalam satu masa.
Wanita yang bekerjaya seharusnya bijak dalam mengurus masa dalam usaha memenuhi tuntutan tanggungjawab yang harus digalas oleh diri dalam menguruskan keluarga dan tugas di tempat kerja.
Wanita hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran pekerjaan kepimpinan dan sebagainya. Keadaan wanita boleh dibanggakan berbanding lebih lima puluh tahun dahulu. Ini mungkin juga menjadi pemangkin kepada semangat wanita untuk menjadi lebih berani bersuara apabila merasakan diri ditindas. Sebagai contoh semakin ramai wanita yang bergelar ibu tunggal mampu berdikari di atas tapak kaki sendiri walaupun pernah melalui episod duka seperti penceraian, menjadi mangsa penderaan suam dan lain-lain lagi. Kita harus membetulkan tanggapan masyarakat hari ini yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan. Ini adalah kerana tuntutan untuk memperkemaskan generasi dan ummah yang akan datang tidak lagi hanya dibebani pada bahu lelaki tetapi sebaliknya memerlukan sokongan dan dokongan wanita. Apabila kita mengatakan wanita itu amat penting dalam masyarakat dan negara ia boleh ditafsirkan sebagai melengkapi antara satu sama lain.
![]() |
THE IRON LADY - saya meminati beliau :) |